Wednesday, March 16, 2011

Projek pembersihan Sungai Klang: MB Selangor tuntut penjelasan PM

 SHAH ALAM:Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mahu Perdana Menteri (PM) memberi penjelasan berhubung projek River of Lifebertujuan bagi pembersihan Sungai Klang di bawah Program TransformasiEkonomi (ETP).

Menurut satu kenyataan media kepada Keadilan Daily.com, Khalid berkata, tuntutan itu dibuat beliau dalam sepucuk surat yang dihantar kepada Datuk Seri Najib Razak semalam. Dalam surat tersebut, Khalid mahu Najib jelaskan mengapa tiada sebarang perkara substantif yang dilakukan dalam menjayakan projek berkenaan walaupun mesyuarat telah diadakan yang dipengerusikan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar.

Beliau juga menyatakan kekecewaan apabila timbul beberapa persoalan
mengenai ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam proses membuat
keputusan berkaitan projek tersebut.Menteri Besar mempersoalkan pemilihan syarikat MRCB-Ekovest dan adakah tender terbuka digunapakai.

“Pelan kewangan dan persetujuan antara kerajaan Persekutuan dan MRCB- Ekovest berhubung projek itu secara keseluruhan dan jumlah yang akan dibayar kepada syarikat itu bagi menyiapkan projek berkenaan juga perlu dijelaskan oleh Datuk Seri (Najib Razak),” katanya. Khalid turut mempersoal kenapa kerajaan Selangor disisihkan daripada projek pembersihan dan pembangunan Sungai Klang.

Najib juga diminta menjawab mengapa Lembaga Urus Air Selangor (Luas) tidak diberi tanggungjawab terhadap projek pembersihan sungai di kawasan Selangor. Menteri Besar juga memohon peruntukan RM2 juta untuk disalurkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di sepanjang laluan sungai membabitkan Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Bnadaraya Petaling Jaya, Majlis Perbandaran Subang Jaya dan Majlis Perbandaran Klang.

Khalid juga menjelaskan dalam suratnya itu bahawa kerajaan Selangor memulakan usaha membersihkan Sungai Klang kira-kira setahun lalu sebelum projek River of Life yang dibahagikan kepada tiga aspek iaitu pembersihan, pengindahan dan pembangunan berkenaan diwujudkan oleh PM. Menurut Khalid, kerajaan Selangor juga telah menyenarai pendek tiga syarikat untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan Sungai Klang. Oleh sebab itu, beliau menyarankan Perdana Menteri mengadakan mesyuarat dengan tiga syarikat berkenaan bagi melihat teknologi yang dicadangkan oleh syarikat terbabit.

No comments:

Post a Comment