Saturday, February 26, 2011

I-City perolehi hak mesin salji buatan Korea

Friday, 25 February 2011 | Ruangan: Berita

SEOUL, 25 Feb- Pemaju hartanah, I-City, akan memperkenalkan pengalaman “salji turun” yang pertama di Asia Tenggara, di Malaysia, apabilamemperoleh hak ke atas mesin salji buatan Korea untuk pusat artik seluas 50,000 kaki persegi di Shah Alam.Mesin salji unik itu dibangunkan khas untuk I-City atas permintaan syarikat  bagi menghasilkan salji dalam iklim tropika, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Eu Hong Chew.
Tanpa menyebut kos mesin itu, Eu berkata fasa pertama membabitkan pemasangan mesin 16 dram di siling pintu masuk utama Snowalk,

Mesin itu berupaya menghasilkan enam tan atau kira-kira 400 kilogram salji “lembut” sehari, katanya kepada wartawan Malaysia selepas menandatangani pakatan strategik untuk hak eksklusif di Malaysia dengan Ketua Pegawai Eksekutif yang juga pengasas Snow Ice Maker BarsKorea, Lee Ki Choon, pada Khamis di kilang  BarsKorea (BK Korea) di Incheon Metropolitan City.BarsKorea, syarikat Korea yang berpangkalan di Incheon, membekalkan mesin-mesin salji untuk industri makanan dan minuman sejak 10 tahun lepas.

Eu berkata BarsKorea bersetuju memberikan hak eksklusif itu kepada I-City dan sebagai balasan, I-City membenarkan BarsKorea membawa masuk para pelanggan perniagaannya melihat operasi mesin salji yang beroperasi di I-City.“I-City menggunakan teknologi Korea bagi mewujudkan salji dengan memusing dram menggunakan air tulen, dan pelawat akan menikmati pengalaman emping salji yang hampir serupa dengan salji semula jadi, pada pertengahan Mac.

Mesin salji itu dihantar ke Malaysia pada malam Khamis dan dijangka tiba di I-City minggu depan.
Mengulas lanjut mengenai teknologi Korea itu, Eu berkata peralatan itu mempunyai tiga komponen utama, sebahagian besarnya pendingin, dram salji dan kondenser. Pendingin digunakan untuk menapis dan menyejuk air pada suhu bilik Malaysia (kira-kira 24 darjah celsius) kepada 15 darjah celsius.Kondenser 50HP (kuasa kuda) ialah pusat proses penyejukan bagi membekukan dram salji kepada – 35 darjah celsius menggunakan gas penyejuk mesra alam R-404A.

Setiap daripada 16 dram salji menggunakan dram berpaten dengan bilah bagi mewujudkan emping salji.
Air kemudiannya dimasukkan ke dalam mesin dan emping salji terhasil serta-merta dan berterusan. Dram salji digantung dari siling dan ketika emping jatuh ke tanah, alat penghembus yang dipasang di tengah dram salji akan menghasilkan curahan salji ringan.Ditanya mengenai rancangan fasa kedua  SnoWalk, Eu berkata: “Kami mahu melihat sambutan orang ramai terhadap pengalaman salji ini dan akan memutuskan untuk memperkenal pelbagai pengalaman menarik sukan dan permainan musim sejuk, dengan kesan 4D.”

Ia merupakan pengalaman pertama salji turun di Asia Tenggara, dan SnoWalk memperkenal konsep salji dan iklim sejuk yang menarik, menghiburkan serta memberi pengetahuan,” katanya.“Pengunjung boleh menikmati pengalaman salji sebenar dan iklim subbeku serta cerun salji setinggi tiga tingkat,” katanya yang menambah I-City akan melakukan promosi di sekolah dan institusi pendidikan bersama Pusat Sains Negara.Selain menikmati salji sebenar, Eu berkata pengunjung boleh juga menikmati sinaran lampu LED yang dipasang antara 100 tan skulptur ais yang dihasilkan dengan reka bentuk yang kreatif.

Para pekerja dari Harbin, China, sebuah bandar yang terkenal kerana generasi pengukir ais, dan menganjurkan pertanding tahunan mengukir ais, membawa pakar dan peralatan yang dihasilkan sendiri ke Shah Alam untuk tujuan itu.Sementara itu, Pengurus Pemasaran BarsKorea Mark Lee, pada taklimat mengenai produk mesin salji itu, berkata BarsKorea mengambil masa hampir 10 bulan untuk menyiapkan projek itu dan akan menghantar empat atau lima pakar untuk memasang mesin berkenaan dalam tempoh dua hingga empat hari selain melatih jurutera I-City selama seminggu atau sebulan hingga mereka mahir menggunakan mesin berkenaan.

“Kami mempunyai teknologi pengeluaran salji yang berkualiti tinggi dan memandangkan kami menggunakan air tulen untuk menghasilkan salji, pengunjung boleh makan salji berkenaan. Kami menggunakan teknologi yang sama di Korea Selatan, dan ini adalah kali pertama kami membuat penyesuaian peralatan salji satu dram kepada mesin 16 dram untuk Malaysia,” katanya.Lee, anak pengasas BarsKorea, berkata BarsKorea sudah mengeksport mesin salji satu dramnya ke Filipina, Singapura dan Dubai, dan kira-kira 20 negara menggunakan perkhidmatan syarikat itu.

I-City dimajukan oleh I-City Properties Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh I-Bhd. I-Bhd disenarai di Papan Utama Bursa Malaysia, dengan Permodalan Nasional Bhd, pengurus dana terbesar Malaysia, merupakan pemegang utama sahamnya.
-Bernama-

No comments:

Post a Comment